Kuala Lumpur: “Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa saya diceraikan. Saya terkejut apabila dia melafazkan cerai sebanyak tiga kali dalam satu masa tanpa sebab.”
Demikian kata isteri kepada penyanyi dan pelakon, Cat Farish, 48, iaitu Suriani Hassan, 36, yang diceraikan pada 13 Disember lalu walaupun baru dua tahun mendirikan rumah tangga.
“Apapun keputusan yang bakal ditentukan nanti saya reda dan anggap kami tiada jodoh. Tipulah kalau saya masih tak sayangkan perkahwinan ini kerana usia pernikahan kami masih baru.
“Malah sepanjang dua tahun berkahwin saya pernah hamil sebanyak dua kali, tapi tiada rezeki apabila saya mengalami keguguran pada tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli dihubungi berkata mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Tak ada apa yang boleh diceritakan lagi. Apa yang berlaku semua ini, membabitkan saya dan isteri. Keluarga pun tak tahu. Tak pasti juga macam mana orang luar boleh hidu. Itu yang tak syok.
“Kalau saya jawab, isu ini berpanjangan pula. Lagi pula sekarang ini kami mengambil pendekatan untuk berdiam diri dulu. Ditambah pula masing-masing sibuk dengan kerja. Saya juga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.
Mengenai dakwaan isterinya yang dia sudah diceraikan dengan tiga kali lafaz, sekali lagi Cat enggan mengulas lanjut.
“Soal lafaz itu sah atau tidak biar mahkamah tentukan. Sebenarnya perkara ini lah yang paling ditakuti dan tak nak berlaku.
“Siapa yang berkahwin nak cerai kan? Apa pun yang terjadi, saya mohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat kami,” katanya.
Cat dan Suriani berkahwin pada 20 November 2020 namun pasangan itu tidak dikurniakan anak.
Sebelum ini, Cat pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan bercerai pada April 2016.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 14, Eva Latheefa, 12, dan Qul Iskandar,11.
PERHATIAN: Pihak KAMI tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KAMI juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan
Share Ya. Terima Kasih!
Sumber HM