KUALA LUMPUR: Allahyarham Danial Danish Mohd Ali, 14, yang maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 pada Sabtu lalu, bagaikan ‘tahu’ apa yang akan berlaku tiga hari sebelum menemui ajal dalam nahas terbabit.
Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati itu seakan-akan mendapat firasat mengenai percutian keluarganya akan bertukar tragedi dalam satu karangannya ketika peperiksaan pada Rabu minggu lalu.
Ibu saudara Danial, Azlina Mohamad, 44, memberitahu FMT, dia tergamam melihat butiran dalam karangan anak saudaranya.
“Karangan arwah (Danial) mengejutkan saya. Saya tidak tahu apa yang boleh saya katakan mengenainya,” katanya.
Tangkap layar karangan sepanjang 159 patah perkataan itu dikongsi bapa saudara Danial, Azreen Mohamad di Facebook.
Beliau menulis, ‘Dapat SS (tangkap layar) karangan anak buah yang meninggal, karangan yang ditulis seolah-olah menceritakan hal sebelum kemalangan sebenar berlaku, mungkin isi karangan kebetulan mirip kejadian sebenar, semoga syurgalah tempat kamu, wahai Muhammad Danial Danish’.
Ibu Danial, adik serta tiga sepupunya masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Temerloh.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Danial bersama datuk, Mohmed@Mohamed Shamsuddin, 75 dan neneknya, Kamariah Hamzah, 72, meninggal dunia dalam nahas berkenaan.
Sebuah treler terbabas ke lorong kecemasan merempuh PROTON Exora dinaiki keluarga itu ketika mereka sedang dalam perjalanan untuk bercuti ke Terengganu dari ibu negara.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila PROTON Exora yang mengalami kerosakan sedang dinaikkan ke trak penunda di lorong kecemasan sebelum dirempuh treler terbabit. Turut dirempuh adalah sebuah PROTON Waja dinaiki empat sekeluarga.
Pemandu trak tunda turut terkorban dalam nahas berkenaan.
PERHATIAN: Pihak KAMI tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KAMI juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan
Share Ya. Terima Kasih!
Sumber – BH