GEORGETOWN – Penghujung Jun hingga Ogos yang lazimnya kemuncak musim raja buah tidak lagi menjadi berita gembira kepada pemilik dusun dan gerai durian di Balik Pulau susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.
Bahkan, tiada lagi pemandangan keterujaan para peminat durian dari seluruh pelosok negara yang datang ke Pulau Pinang untuk menikmati raja buah itu, sama ada di gerai-gerai tepi jalan atau pun menikmatinya di dusun.
Sejajar dengan penguatkuasaan total lockdown, ia merupakan tahun kedua mereka dijangka mengalami kerugian apabila sekatan daerah dan negeri dikuatkuasakan selama dua minggu.
“Dengan peningkatan penghasilan buah tahun ini, saya jangkakan perniagaan saya mungkin merudum melebihi 50 peratus kerana masalah pemasaran. Tahun lalu, saya rugi antara RM60,000 hingga RM70,000.
“Setakat ini, saya buka dua gerai iaitu satu di sini (pulau) dan satu lagi di seberang. Sehingga hari ini, Pulau Pinang masih membenarkan penggerai beroperasi. Sebelum ini, saya buka enam gerai selain pelanggan boleh menikmati durian di dusun,” ujarnya.
Lambakan durian dan pelaksanaan ‘total lockdown’ menyebabkan Shamsol bakal mengalami kerugian sekitar RM80,000 tahun ini.
Bagi mengurangkan kerugian pada tahun lalu, Shamsol menjual isi durian, termasuk jenis Black Thorn dan Musang King ke kilang-kilang yang menghasilkan ais krim selain pengusaha tempoyak pada harga yang murah.
“Saya berharap kerajaan negeri mengizinkan penjual durian mendirikan gerai di tepi jalan untuk berniaga tahun ini. Saya berusaha sebaik mungkin menjual durian dalam talian tetapi ia kurang memberangsangkan.
“Saya ada menyertai platform Jom Beli Online ([email protected]) yang diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun hasil jualan tidak serancak berbanding menjual di gerai.
“Pelanggan lebih suka melihat sendiri buah durian daripada membeli dalam talian kerana mereka lebih puas hati dengan cara itu,” jelasnya.
Menyentuh harga pula, Shamsol yang sudah sedekad berkecimpung dalam perniagaan durian memberitahu, harga durian merudum antara RM5 hingga RM10 sekilo.
“Kita terpaksa turunkan harga kerana lambakan durian. Durian jenis D604 yang sebelum ini berharga RM38 sekilogram kini hanya RM28. Jika kita tidak turunkan harga, tiada pembeli dan buah akan rosak.
“Meskipun kini adalah masanya untuk peminat durian menikmati buah kegemaran mereka, malang ia sebatas untuk penduduk Pulau Pinang sahaja,” luahnya.
Di Balik Pulau, terdapat lebih 200 dusun durian yang dimiliki oleh penduduk tempatan.
PERHATIAN: Pihak KAMI tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KAMI juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan
Share Ya. Terima Kasih!
Sumber : sinar