KUALA LUMPUR: Kerani, Sam Ke Ting, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebulat suara membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman
Panel membenarkan Ke Ting dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut membenarkan permohonan wanita itu yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar untuk merayu sabitan kesnya di Mahkamah Rayuan.
Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta suspek.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Ke Ting tanpa memanggilnya untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Ogos 2017, seramai 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit dikemukakan di mahkamah.
Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di mahkamah Tinggi dan pada 18 Februari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahanaz Sulaiman, memerintahkan Ke Ting membela diri.
Di akhir kes pembelaan, mahkamah majistret pada 10 Oktober tahun lalu membuat keputusan melepas dan membebaskan Ke Ting daripada tuduhan berkenaan selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Berikutan keputusan itu, pendakwaan sekali lagi memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
PERHATIAN: Pihak KAMI tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KAMI juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan
Share Ya. Terima Kasih!
Sumber BH