KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella, telah diberi makan seperiuk nasi dicurah dengan cuka, kunyit, garam, kicap, cili dan kepingan cili serta ayam goreng busuk ketika bulan puasa oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Yasmin Nahar Mahmood, 18, penghuni Rumah Bonda, berkata Bella disuruh oleh Siti Bainun untuk menghabiskan nasi tersebut walaupun remaja itu kenyang kerana Bella telah curi-curi makan dan minum semasa ketiadaan Siti Bainun di rumah kebajikan itu.
“Ketika itu bulan puasa, Bella tidak makan nasi sebab dia terlampau kenyang kerana curi-curi minum air dan makan kerana di bilik dobi banyak barangan kering. Bella juga tidak dibenarkan makan dan minum sesuka hati, jadi Bella cari jalan untuk curi makan dan minum tanpa pengetahuan saya, Siti Bainun dan penghuni Rumah Bonda sebab dia takut.
Disoal seorang lagi peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf berapa kali kejadian itu berlaku dan adakah Siti Bainun meminta secara spesifik 20 biji cili padi itu, saksi itu menjawab: “Banyak kali juga dan memang Siti Bainun mahukan 20 biji cili itu”.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kejadian itu berlaku beberapa kali seminggu.
Farhan: Boleh kata empat kali seminggu? Yasmin menjawab: Ok.
Farhan: Jadi kalau seminggu sudah 80 biji cili Bella makan, tak kan mulut Bella tak melelas, melecet atau merah? Yasmin menjawab: Mulut dia merah.
Farhan: Pada prosiding semalam, kamu kata Bella didera setiap hari selama empat bulan, jadi kalau kita kira lebih kurang 1,280 biji cili disumbat kepada Bella (dalam tempoh empat bulan) tak kan mulut Bella tak melelas atau melecet.
Yasmin: Dia (Bella) makan, lepas itu buang balik.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
PERHATIAN: Pihak KAMI tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KAMI juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan
Share Ya. Terima Kasih!
Sumber: BERNAMA